Tidak kira anda seorang pemilik perniagaan, eksekutif, pengurus, pelajar atau suri rumah sekali pun, pasti anda kena menyelesaikan masalah dan mencari jalan penyelesaian. Saya huraikan 6 set minda yang anda perlu ada sebagai penyelesai masalah (problem solver).
1) Sentiasa ingin tahu
Orang yang sukakan ilmu, dia sentiasa dalam keadaan sukakan pengetahuan baru. Bagi dia, perkara baru mengujakan minda. Pernah tengok kanak-kanak yang suka bertanya? Kanak-kanak bertanya macam-macam soalan untuk memahami apa, kenapa, bagaimana dan mana. Sebagai orang dewasa, perlu punyai karakter ini untuk kekalkan minda problem solving.
2) Bertolak ansur dengan sifat ketidaksempurnaan
Seorang problem solver, terutamanya leader, dia memiliki sikap mencuba pelbagai kemungkinan yang paling hampir untuk sebuah solusi atau jalan penyelesaian. Tidak ada satu solusi yang konkrit untuk satu masalah namun dengan berpandukan fakta dan data, boleh menjadi asas membuat keputusan. Tidak ada seorang pun yang memiliki pengetahuan mutlak kerana ilmu itu akan sentiasa berkembang. Kerana itu, ketidaksempurnaan dalam minda seorang problem solver akan melihat beberapa alternatif.
3) Metafora dragonfly view
Minda penyelesaian masalah juga melibatkan anda melihat dari beberapa sudut. Seperti pepatung, ia boleh melihat dengan matanya yang mempunyai beribu len. Analoginya, anda perlu melihat satu masalah dari perspektif yang pelbagai. Contoh, ada masalah kurang stok kerana banjir. Anda perlu lihat proses logistik seperti pembekalan, penyimpanan stok, pengangkutan dan garis masa untuk menyelesaikan kekurangan stok. Melalui dragonfly view ini, seseorang boleh melihat peluang dan ancaman terhadap pendekatan yang akan diambil. Anda perlu melihat dari pelbagai penjuru.
4) Fokus apa yang sedang berlaku
Apabila sesuatu masalah terjadi, fokus kepada punca masalah itu. Beri tumpuan kepada masalah yang timbul sekarang dan elak memikirkan masalah yang belum berlaku. Kemudian kenal pasti proses yang terlibat dan memperhalus solusi. Kadang-kadang perlu bergerak dengan penyelesaian yang baik sebelum menjumpai penyelesaian terbaik.
Mungkin kena perbaiki dari semasa ke semasa untuk kelancaran proses. Penyelesai masalah tidak semestinya menjumpai satu jalan penyelesaian yang sempurna, masalah tidak selesai dengan acuan atau corak yang sama.
5) Manfaatkan kolektif data dan kebijaksanaan kumpulan
Apabila masalah berlaku, anda perlu kenal pasti punca terlebih dahulu. Data penting untuk mencari punca sebenar. Dengan data, ia menjawab kenapa terjadi begitu. Dengan data ia menunjukkan loopholes atau kelemahan. Ambil kira pendapat ahli kumpulan atau pekerja dan bukan berharap kepada seorang sahaja. Setiap ahli mempunyai kepakaran dan kebijaksanaan yang berbeza. Berbincanglah, lakukan analisis dan pertimbangkan input, sebelum membuat keputusan.
6) Show and tell (kaedah tunjuk dan terang)
Penyampai yang efektif ialah seseorang yang mahir membawa audien mendengar dan memahami dari mula sampai akhir penyampaian. Dia bijak menerangkan punca masalah, membentangkan beberapa jalan penyelesaian yang mengurangkan risiko dan menghuraikan proses bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Boleh anggap mereka seperti penglipur lara tetapi penglipur lara berfakta dan logika. Cara penyampaian penting untuk memberikan tanggapan positif dan keyakinan kepada audien dalam mengetuai penyelesaian masalah. Perlu ada persiapan dan butir-butir penting dalam pembentangan.
Ada ketikanya pembuat keputusan menghadapi sumber dan masa yang sangat terhad, namun mereka masih perlu memberikan jawapan dalam masa singkat. Berdasarkan kekangan input yang ada, mereka perlu membuat keputusan segera. Jika solusi kurang memuaskan, dia akan mendapatkan maklumat tambahan dan memperbaiki butiran dalam keputusan seterusnya.
Comments
Post a Comment